Tuesday, December 31, 2013

Berduyun-duyun ke dusun UTM

Masuk, makan apa saja sampai kenyang cuma RM3.
Nak tapau, bayar RM 10 untuk satu beg plastik besar.

Nyummm.!

Memang wajib jadi aktiviti tahunan di dusun utm ni ♥

Saturday, December 21, 2013

Jauhi aku

Tertekan.

Orang lain takkan peduli. Mereka tak akan ambil pusing apa yang aku rasa.

Aku nak melawan? Nak memberontak? Pentingkan diri sendiri?

Tak sampai hati.

Sebab aku tau pasti tekanan perasaan tu rasanya macam mana. Jantung rasa nak pecah. Perasaan kadang-kadang tak waras.

Nak mengadu. Selalu.

"Jangan pedulikan dorang." "Jangan baik sangat." "Jangan stress."

Setakat cakap yang aku sendiri pun boleh buat. Dan memang selalu pun aku buat bila nasihatkan orang.

"Sabar la." Aku selalu cakap macam tu. Sampai satu tahap, aku pun jadi tertekan dengan masalah orang lain. Sampai satu tahap aku dapat rasa sabar tu memang susah nak di jaga.

Sabar aku belum hilang. Masih ada pada aku. Cuma aku tak tahu sampai bila ada sabar.

Aku dah tak ada selera nak adukan pada sesiapa secara lisan.

Alangkah baik kalau semua tekanan ni pergi setiap kali usai mandi. Jatuh sekali dengan air mandian. Kalau betul tekanan boleh meresap dalam air, pasti hitam air mandian.

Tipu.

Aku tipu diri sendiri.

Aku bahagia dan gembira.

Tak ada tekanan.

Air mandian aku jernih.

Eh, dan sudah pasti aku mampu baca fikiran orang lain. Tak perlu susah-susah terangkan apa-apa.

Suruh saja apa-apa, kemudian senyap.

Bagitahu saja apa-apa, kemudian senyap.

Mengadu saja apa-apa, kemudian senyap.

Aku dah biasa begini. Hidup aku memang begini. Manusia sekeliling aku memang begini.

Aku tak boleh cakap lebih-lebih, takut mereka tertekan.

Atau aku yang terlalu melebih-lebih, sampai aku jadi tertekan.

Sudah la.

Jauhi aku bila aku tertekan.

Dan bila kau tertekan, jangan risau. Aku ada untuk sebarang luahan perasaan dan bantuan. Pergunakan aku selagi masih ada peluang. Kerah la aku selagi ada ruang. Selagi sabar aku masih ada aku takkan melawan.

Cuma satu.

Kalau aku tertekan, jangan dekati aku.

Monday, December 16, 2013

Alisha Safiya ♥

Selamat datang ke dunia Safiy.. Tarikh 12/12/13 aunty dah save siap2 dalam calendar. Insha Allah panjang umur boleh celebrate birthday Safiy cayang.
Akhirnya aunty berjaya namakan anak buah aunty ni. Safiya. Kira hadiah untuk Safiy ye. Semoga menjadi insan yang mulia, sesuai dengan nama tu. Mmuaahhh!

Makin ramai la anak buah aunty zaza. Sayang semua!

Budak kuat tido. Abang cakap, keluar-keluar je dari perut ibu dia, tidooooo je keje. Ni menurun perangai ayah dia la ni.

 
Kalau tido suka buat mulut. Macam-macam gaya mulut tu. Last-last, tido ternganga mulut.. huhuu


Sampai-sampai je nenek tolong bersihkan 'yak' Safiy. Itu pun tido lagi. Nak minum susu baru la celik. Itupun tak sampai 10 saat pejam lagi.  

Monday, December 9, 2013

Tercongak-congak

Rindu Cikgu Suraya! Ampunkan saya cikgu, saya nakal dalam kelas cikgu dulu. Sekarang saya dah insaf. Tapi nampaknya dah terlambat... Tepu kepala otak menelaah subjek cikgu.. huhuu... Prinsip Akaun... Oh, please..!

pssstt : kalau la aku faham konsep Aku Lebih Memahami Hati Budimu dari awal, tak ada la Aku Sengsara Sekarang T_T

Friday, December 6, 2013

Kami prihatin

Musim tengkujuh, musim banjir, musim penyakit mudah merebak, kehilangan nyawa, harta benda. Dugaan berangkai yang puncanya dari musim tengkujuh. Bila tengok berita, rumah-rumah tenggelam sampai paras bumbung, rasa sedih dan kesian sangat. Lagi-lagi bila baca blog-blog orang lain, baca status update kat fb, benda bencana alam ni pun nak dijadikan isu politik. Ape la perangai.

Tapi segelintir je yang perangai macam *tutt* tu. Ramai lagi rakyat Malaysia yang prihatin. Petang tadi dapat sms dari kawan yang bersungguh nak kutip sumbangan barangan untuk mangsa banjir kat Mersing. Ingatkan program fakulti, rupanya program beliau rencanakan sendiri. Kagum! Tabik spring aku bagi kat kau Ezza Syuhada! Dah la rajin, baik hati pulak tu. Sokong sangat.

Aku tak ada la mampu nak menderma beribu-ribu ringgit untuk membantu. Sekadar sumbangan tak seberapa sambil panjang-panjangkan mesej kepada kawan-kawan group wassup. Harap-harap usaha yang sedikit yang langsung tak mengeluarkan peluh ni, di redhai olehNya. Mari kita sama-sama menolong! In sha Allah, tak ada aral melintang Isnin 9 Dec dorang akan hantar sumbangan tersebut ke Mersing.

Semoga semuanya berjalan lancar. Aminnn....

Monday, November 25, 2013

kecil yang BESAR

Pernah tak kita sedang duduk-duduk santai, tiba-tiba tersenyum sendiri bila teringat sesuatu yang pernah kita lakukan? Kadang-kadang perkara yang sekecil-kecil perkara, boleh tinggalkan memori yang besar untuk kita. Tak perlu lakukan perkara yang besar-besar macam menderma sampai berjuta-juta, sponsor majlis-majlis gah, berenang dari London sampai ke Londang. Tak perlu! Kita, orang-orang biasa ni, cuba lakukan sesuatu yang biasa-biasa. Bila terdetik dihati, lakukan! (tapi jangan la terdetik nak merompak sebab nak cepat kaya, terus pergi merompak. No no no!) 

Perkara yang biasa-biasa yang kita lakukan hari ni mungkin nampak kecil sampai kadang-kadang kita tak ada perasaan pun nak lakukan. Perkara yang biasa. Jalan-jalan dengan kawan, tunggu matahari terbit, beriadah, main kejar-kejar dengan anak buah mungkin. Semua perkara yang biasa. Tak ada yang istimewa. Tapi, suatu hari nanti bila kita terkenangkan perkara biasa-biasa dan kecil yang kita pernah buat dulu, barulah kita sedar betapa besarnya makna kehidupan kita. Betapa hidup kita bertuah sebenarnya. Dikelilingi dengan orang-orang yang sanggup lakukan perkara biasa-biasa dengan kita dulu. Paling kurang pun kalau dulu perkara kecil yang biasa-biasa tu kita lakukan sendiri, sedarlah bahawa kita juga bertuah kerana memiliki jiwa yang tabah dan mampu berdikari.




Monday, November 18, 2013

Weehuuuu!

Bercuti waktu banyak kerja memang heaven. Hahaaa! Musim buah feveret I kat kampung.

Rambutan!

Brekfes rambutan. Lunch rambutan.

><

Wednesday, November 6, 2013

Hari bersenang-senang

Kali kedua dalam tahun ni berjalan-jalan lagi ke bandar bersejarah. Tak tahu la kenapa emak suka sangat jalan-jalan sana.

Kebetulan waktu tu cuti deepavali, jalan jam! Letih kaki denn.

Sunday, October 27, 2013

Kembali padaNYA

Dari semalam cuaca redup je. Nyaman yang kadang-kadang menimbulkan rasa sayu. Cuma petang tadi hujan sangat lebat menyimbah bumi Johor Bahru. Aku bukanlah watak suci macam dalam drama. Bila hujan turun akan tersenyum menikmati curahan air hujan di tepi jendela. Itu bukan aku! Aku tahu hujan itu juga rahmat Tuhan, tapi aku tak tahu kenapa aku tak suka hari hujan. Hujan ni buat hati aku jadi sayu, lost dan rasa semacam suatu kesedihan.

Itu aku, sebab aku bukanlah watak suci.

Hujan semalam buat hati aku rasa tak senang, rasa ada yang kurang. Sampai ke malam, walaupun hujan sudah berhenti tapi aku tetap rasa 'sesuatu'. Tak boleh lelapkan mata. Aku bacakan surah yassin untuk tenangkan jiwa. Dan hari ini, baru sebentar tadi, aku terima berita 'terkejut' dari bekas encik bos aku di kiosk merah jambu. Memang terkejut dan masih belum boleh percaya dengan apa yang encik bos kata.

Kami kenal tak lama. Sebulan. Tapi rasa macam sudah lama kenal. Dari pandangan aku, dia seorang yang matang berbanding usia, bijak dan baik hati. Bukan aku puji sebab dia telah pergi, tapi itu kenyataan.  Sekarang barulah aku faham kenapa Jumaat semalam aku jadi sayu sangat. Emo tak kena tempat. Rupanya, dia sudah pergi menghadap Ilahi. Innalillah.. DaripadaNya kita datang, kepadaNya jua lah kita kembali.

Al-fatihah untuk arwah adik kami, Muaz di kiosk merah jambu yang telah pergi buat selamanya. Semoga segala urusan kamu di sana dipermudahkan.. In sha Allah...

.
.
.
.
.
.
.

Kematian itu pasti dan sangat dekat dengan kita. Cuma waktu, di mana, bagaimana kita mati segalanya rahsia Allah. Masa aku juga sudah ditentukan olehNya. Dan aku harap bila aku sudah tiada nanti, jangan ditangisi dan jangan dikenang-kenang terlalu lama. Di dunia, aku tidak pernah meminta sedekah, tapi bila aku tiada nanti, sedekahkan Al-fatihah untukku sebab aku tahu simpanan amalanku tidak sebanyak mana kerana aku bukanlah watak suci.

Friday, October 25, 2013

T A B A H

Insan yang paling tabah adalah insan yang sentiasa tersenyum apabila menghadapi ujian. Sedaya upaya menutup rasa gundah dalam hati,, tersenyum untuk menggembirakan hati orang lain. Tidak banyak merungut dan mengadu-ngadu dengan kesukaran yang dihadapi.

Adalah beberapa insan yang aku kenal, begitu tabah menjalani hidup mereka yang penuh dengan ujian. Bila bersama mereka aku tak dapat rasa kewujudan 'sedih' pada mereka. Senyum. Penuh keredaan. Jadi aku jadi alpa dan kurang menjaga kata-kata. Mereka tenang jadi aku sangka hati mereka senang. Maaf, aku tak tahu perkara sebenar!

Aku juga mahu jadi orang yang tabah. Tapi aku tahu, dan Tuhanku juga maklum hati aku tidaklah setabah mana. Ujian yang kecil pun selalu diadukan pada seseorang. Masalah yang remeh selalu dikeluh-kesahkan. Selipar hilang pun amukkan satu kampung boleh dengar. Kadang-kadang jadi malu dengan sikap sendiri.

.
.
.
.

Terima kasih Tuhan kerana pertemukan aku dengan insan-insan yang tabah ini. Pengalaman dan ujian mereka dariMu akan aku jadikan tauladan. In sha Allah.

.
.

(dulu masa sekolah cikgu BM ajar, ejaan yang betul untuk redha adalah reda dan aku masih guna pakai hingga sekarang walaupun ramai kawan kata 'redha' adalah betul)

Monday, October 21, 2013

ok





to-do list:
1. research
2. research
3. research

Friday, October 18, 2013

tajuk : tiada

duduk makan sambil borak panjang dengan sahabat sebab lama tak jumpa dan makan sama-sama sampai tak sedar orang sekeliling makin ramai. maklum lah, waktu makan tengahari. sambil-sambil borak, terasa macam perlu pandang seseorang. tak tau kenapa. macam ada daya tarikan magnet yang paksa mata ni memandang.

pandang.

lama.

tenung.

macam kenal.

mr. crush aku hampir tujuh tahun lepas!

dah rasa menggigil lutut. pura-pura makan sambil borak macam tak ada apa berlaku. harap-harap dia tak perasan aku dekat sini. dah la tema baju aku hari terang-benderang bak lampu neon bergerak. makan tunduk je, sesekali fokus tepat pada muka sahabat. takut nak menoleh. 

perasan seorang wanita tarik kerusi pada meja sebelah. fuhh, lega sebab perempuan yang duduk sebelah. tak lama... mr. crush duduk sebelah wanita tu! sobss..! mr. crush dengan puan wife rupanya... tak berani nak toleh lagi, tapi aku sempat jeling-jeling puan wife. elok rupa, tudung labuh, sempurna je menutup aurat. kalau nak dibanding dengan aku, ermmm... memang la sah-sah aku ni dalam kategori 'fail'.

mula-mula memang aku sedih. tapi lepas nampak puan wife mr. crush, aku rasa beruntung sangat dia dapat pasangan yang sebegitu. sama padan. dan aku pelik, hati aku tak berdebar-debar pun bila nampak mr. crush dari dekat. tak macam dulu, macam zaman mula-mula aku suka dia sampai la 5 tahun lepas tu. lama kot.

sengaja aku coretkan pengalaman aku hari ni dalam diari nenek kebayan. tak kisah la kalau bakal 'suami aku ustaz' baca sekalipun. sebab aku nak dia tahu, yang perasaan aku, kalau boleh, hanya untuk seorang saja. dan sekarang aku dah tak simpan perasaan tu pada sesiapa. bukan aku putus asa, sebab aku yakin rezeki jodoh aku sudah ditetapkan. bukan dengan mr. crush. tapi dengan seseorang yang aku belum jumpa

(mungkin kita dah jumpa tapi kita tak kenal sebab semua ni rahsia Allah)

to mr. crush : "aku tahu kau perasan kewujudan aku tadi, terima kasih sebab tak tegur macam selalu, macam dulu."

Friday, September 27, 2013

M A - mahunya apa?

alangkah seronoknya kalau kita boleh dengar kata hati orang lain. dan lebih mudah kalau boleh berbicara dari hati ke hati. direct to the point je.
hurmmm.. kalau macam ni selalu boleh kena susah hati dan sakit hati.

dan oleh kerana semua perkara ni mustahil, tolonglah suarakan rasa hati tu. sebab orang lain tak akan tahu apa yang terpendam dalam hati tu.

*luahkan*

Thursday, August 29, 2013

Carilah Lelaki yang Mampu Jadi Imam

(salin dan tampal dari mukabuku)
Credit to : Adoi!!!! Bosannya


Asal kepada seorang wanita adalah pengikut. Ertinya, dia berhajat kepada pemimpin dan pembimbing.
Asal kepada seorang lelaki pula adalah ketua. Ertinya dia merupakan seorang pemimpin dan pembimbing.
Sebab itu dianalogikan suami sebagai imam.
Apa peranan imam dalam solat?
Guide makmum, kan? Apabila selesai dibaca Al-Fatihah, makmum mengaminkan bacaan tersebut. Apabila imam rukuk, makmum ikut rukuk. Apabila imam sujud, makmum ikut sujud.
Bagaimana pula jika imam tersalah rakaat? Atau terlupa dalam bacaan surah?
Makmum menegur. Lelaki bertasbih, perempuan bertepuk. Ada tatacara dan tertibnya.
Analogi ini suatu yang besar jika benar-benar diaplikasikan dalam hidup.
Dalam solat, ada imam dan ada makmum dengan segala tatatertibnya.
Di luar solat, ada ketua dan ada pengikut dengan segala undang-undang dan aturannya.
Begitulah indahnya Islam. Ia datang untuk menjernihkan hidup manusia dan memastikan manusia hidup dalam aturannya yang benar, betul dan tepat.

PERKAHWINAN

Ia bukan perjanjian sehari dua atau sebulan dua. Bukan juga sampai tua.
Ia perjanjian sampai mati.
Justeru, sebelum berkahwin, mesti fahami peranan masing-masing dalam perjalanan panjang tersebut.
Suami terutamanya. Jangan seronok sahaja kerana digelar ketua. Tetapi tidak pula bersedia bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang ketua.
Ada tanggungjawab yang besar Allah bebankan seusai lafaz akad nikahmu.
Jangan hanya seronok tersengih-sengih dan bergambar mesra ( kemudian ditayang sehabis bangga di alam maya ) tetapi bab bersuci pun entah ke mana. Haid dan nifas dianggap sebagai ‘bab orang perempuan’ yang tidak perlu diketahui oleh lelaki.
Sebab itu tidak pelik, ada suami menengking isteri bila disoal tentang itu.
” Awak kan perempuan? Hidup dah bertahun-tahun takkan awak tak pandai-pandai lagi bab tu?! ”
Suami yang bertanggungjawab tidak akan mengungkapkan kata-kata seperti itu. Hakikatnya, ia adalah ungkapan alasan bagi suami yang mahu lari dari tanggungjawab.
Bukankah mengajar isteri fardhu ain itu suatu perkara wajib bagi suami?
Bukankah kalau isteri jahil tentang bab-bab haid, nifas, istihadhah dan sebagainya maka suami yang akan menanggung dosanya?
Bukankah menjadi kewajipan bagi seorang suami menghantar isterinya ke kelas agama jika dia tidak mampu mengajar perkara-perkara tersebut?


MENCARI SEORANG IMAM

Tak kacak tak apa, sebab lelaki memimpin bukan dengan kekacakan.
Tak kaya tak apa, sebab kekayaan bukan asbab hebatnya kepimpinan.
Ada lelaki rupanya tidak kacak, kulitnya gelap tetapi penampilannya kemas dan kefahaman agamanya cukup baik.
Namun ada ramai juga lelaki yang kacak, tetapi rambutnya panjang tidak terurus, pakaiannya selekeh dan tidak langsung menggambarkan ciri-ciri seorang pemuda Islam. Kefahaman agama dianggap perkara remeh.
Saya sebutkan ini kerana saya kira, memilih seorang imam tidak mudah.
Mungkin ramai wanita akan bertanya, bagaimana mahu memastikan dia seorang imam yang baik?
Ada yang merasakan lelaki kaki masjid itu terbaik sebagai imam.
Ada yang merasakan lelaki pandai bertazkirah agama itu terbaik sebagai imam.

Ada juga yang merasakan lelaki ‘berpengajian agama’ itu paling baik sebagai imam.
Saya geleng kepala.
Sungguh. Ia susah kerana sebagai manusia, kita hanya penilai zahiriah sedangkan batiniahnya, hanya Allah yang tahu.
Pun begitu, saya suka mencadangkan.
Sebagai wanita, anda diberi satu tempoh yang istimewa sebelum anda sah bergelar isteri kepada seorang lelaki. Tempoh itu dinamakan tempoh ‘suai-kenal’ atau istilah rasminya , bertunang.
Ramai orang tidak menggunakan tempoh ini sebaik mungkin. Ada yang belum apa-apa, sudah meletakkan ‘sepenuh ketaatan’ kepada si tunang. Ada yang melayan borak siang malam sampailah kepada bertemu di taman dan tengok wayang.
Jangan tiru tabiat-tabiat seperti itu. Bukan sahaja agama mengatakan ia sebagai tidak baik, bahkan akal juga mengatakan demikian.

MANFAATKAN TEMPOH BERTUNANG

Itulah satu-satunya tempoh terbaik untuk anda menguji sejauh mana si lelaki mampu menjadi imam kepada anda nanti.
Menguji itu tidak salah. Gunalah pelbagai method yang ada. Jangan mengintip dia di bilik tidur sudah.
Antara method yang mungkin anda boleh gunakan adalah, method perbincangan.
Jangan lupa, waktu berbincang itu, antara anda dan dia bukan suami isteri. Justeru, tidak ada ‘kewajipan’ sebagai isteri yang perlu anda tunaikan di ketika itu. Demand anda masih tinggi. Anda masih boleh mengatakan ‘tidak’ kepada dia jika tidak kena caranya.
Method berbincang, jika kena caranya, boleh memberi gambaran yang baik adakah si lelaki sudah menepati ciri-ciri seorang imam ataupun tidak.
Malangnya, method perbincangan ini tidak banyak digunakan dengan betul. Antara sebab utamanya adalah, sudah jatuh hati dan berpendapat, tiada jalan untuk berpatah balik melainkan meneruskan perkahwinan, biarpun tersingkap seribu kekurangan.
Tanpa sedar, ia mencacatkan hikmah sebuah pertunangan.

ASALKAN DIA BAIK ?

Biarlah dia tidak pandai agama pun, asalkan dia baik. Dia sayang saya, prihatin dan saya yakin dia mampu membahagiakan saya.
Alhamdulillah, anda telah menemui seorang lelaki yang baik.
Tetapi kita di sini tidaklah bercakap perihal baik atau tidak.
Sama juga dengan soalan skeptik : habis, orang tutup aurat semua baiklah?
Ustaz Azhar Idrus jawab : belum tentu, tapi orang yang baik mestilah akan menutup aurat.
Ini pun serupa. Bukanlah lelaki yang meremehkan soal agama itu tidak baik, tetapi seorang lelaki yang baik pastilah tidak akan meremehkan soal agama.
Dia pastilah seorang lelaki yang benar-benar mempunyai ciri-ciri seorang imam.
Nah, carilah lelaki jenis itu sebagai suami. Lelaki yang mampu menjadi imam, dalam dan luar solatmu.
Lelaki yang bertegas denganmu dalam hal-hal agama, dan berlembut denganmu dalam hal-hal dunia.
Bukankah dirimu mahukan perkahwinan itu sampai ke syurga? Bagaimana mungkin seorang lelaki yang tidak tahu jalan ke syurga boleh membimbingmu untuk sampai ke sana?
Buatlah pilihan dengan bijak.
Carilah untuk dirimu seorang IMAM, bukan semata-mata seorang jejaka.

“CARILAH”
LELAKI yang MAMPU menjadi IMAM untuk KAMU,
Yang MENITISKAN AIR MATANYA apabila MELIHAT
KESAKITAN KAMU KETIKA MELAHIRKAN ZURIATNYA ,
Dan LELAKI yang MEMBANGUNKAN KAMU untuk BERIBADAT
BERSAMA – SAMA DI SEPERTIGA MALAM .
JIKA PENCARIAN ITU TELAH KAMU TEMUI , JANGAN LUPA
BERSYUKUR KEPADA-NYA . jadilah, PERMAISURI HATINYA , PENEMAN DIKALA SUKA dan DUKA, PENGUBAT RINDU dan LARA

 

>> suka untuk ulang baca dan mula mencari

Wednesday, August 28, 2013

Bila mampu memilih

Hidup kita, semua orang, pasti terhidang pilihan. Tak kira samada pilihan kita banyak atau sikit. Pastinya ada pilihan. Kita cuma perlu fikir dan pilih pilihan yang terbaik. 

"Aku memang dilahirkan begini, bukan aku yang minta." "Aku memang malas sejak azali." "Dah hidup aku memang susah sejak dulu, redha aje la."

Entah. Terlalu 'redha' tak bertempat.

Malas, kita ada pilihan untuk jadi rajin. Rajinkan diri bersenam, rajinkan diri buat kerja, fikirkan tanggungjawab kita. Tak ada sebab untuk terlalu 'redha' jadi pemalas.Usahalah untuk jadi lebih rajin. Kalau tak rajin yang terlalu bersungguh, sekurangnya usahalah untuk kurangkan rasa malas.

Hidup susah, kita ada pilihan untuk hidup senang. Tak semua orang bertuah lahir dalam keluarga yang kaya-raya. Tujuh lapan keturunan tak habis makan. Dan tak semua orang yang senang lahir dalam keluarga yang senang. Mereka berazam dan usaha untuk menjadi senang. Mereka sudah buat pilihan untuk tidak selamanya menjadi orang susah. 

Tak pandai, bukan alasan untuk selalu gagal. Bukan penyebab tak boleh berjaya. Kita boleh pilih untuk jadi pandai. Belajar. Tak semestinya perlu sambung ijazah bertingkat-tingkat untuk jadi pandai. Belajar dari kesilapan, belajar dari internet, setidaknya belajar dari pengalaman orang lain. Ada duit lebih, masa lengang, tenaga cukup, belajarlah secara formal dengan guru. Itu lebih berkesan.

Paling sedih.. Lebih berminat pada kaum sejenis. Perasaan boleh berubah-ubah. Boleh dibentuk. Kalau sentiasa kata pada diri sendiri, "naluri aku memang begini..", sampai bila pun kita tak akan  berjaya nak ubah diri sendiri. Jangan salahkan Tuhan jika naluri kita songsang 360' begitu. Itu juga ujian. Kita ada pilihan untuk berubah. Usaha. Muhasabah diri. Sentiasa ingat dan patuh perintahNya. Kaunselor pun sedikit sebanyak boleh membantu. 

Kita boleh pilih, kan?

Kenapa pilih untuk tidak melakukan apa-apa?

Kita boleh pilih, kan?

Kenapa perlu rasa yang kita ni selalu malang bila ditimpa ujian dan bala.

Pilihlah yang terbaik.



"Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada rundungan sedih dan duka. Aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Aku berlindung kepada-Mu dari beban hutang dan penindasan orang.” 

(diriwayatkan oleh Abu Daud, daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A)

Tuesday, August 20, 2013

Krik krik

Semua yg dah tengok cerita, dorang kata seram. Dan memandangkan semua orang dah tengok, nenek terpaksa gi tengok sorang. Berbaloi jugak seram cerita ni. Tak sia-sia gagahkan diri tengok sendiri, tapi dalam pawagam yg memang full house! Jadi kurang la sikit keseraman cerita ni. The conjuring..

Monday, August 5, 2013

Penghinaan terhadap Islam

Mengambil kesempatan sebelum berbuka puasa hari ni, nenek nak menulis sedikit di sini. Sekadar meluahkan pendapat. Sejak minggu lepas, satu Malaysia heboh sangat dengan video seorang wanita yang kononnya menghina Islam melalui klip rakaman beliau bersama anjing2 peliharaan. Lepas tersebar video ni, semua orang termasuk la ahli politik, artis2, dan tak ketinggalan orang awam sendiri memberikan pandangan dan kritikan. "Ini suatu penghinaan terhadap Islam!" kata mereka. Isunya, semua sudah sedia maklum. Anjing dan takbir hari raya. Semua orang melatah, semua nak marah. Menteri, pak menteri, isteri2 menteri, artis tak usah cerita, semua nak bagi komen.

Cuba kita lihat isu kita sendiri setiap hari.

Lelaki perempuan Islam (couple) berpegang tangan sambil jalan2, mesra bukan main mengalahkan pasangan berkahwin.  Tak menghina Islam?

Orang Islam, Melayu, tak kira artis atau orang biasa membuka pub dan pusat hiburan. Siap advertise lagi untuk semua. Tak menghina Islam?

Seorang Islam menyertai pertandingan ratu cantik yg memang terang-terangan berpakaian tidak mengikut syarak. Siap mendapat sokongan  padu dari supporters beragama Islam. Tak menghina Islam?

Tazkirah yang diselitkan pada solat terawih tidak dibenarkan, tapi konsert awal tahun, akhir tahun, parti, hiburan dan karnival yang jelas membuang masa, bercampur aduk lelaki dan wanita bukan mahram. Tak menghina Islam?

Vlog di utube. Di shopping mall. Di mana-mana sahaja termasuk la dalam filem dan drama, wanita seperti lelaki, lelaki seperti wanita. Dan semuanya Melayu Islam. Macam bangga je dapat serlahkan sisi pengkid dan nyah di kalangan orang Islam. Tak menghina Islam?

Buang bayi, maksiat, minum arak, main judi, rasuah. Banyak lagi kalau nak sebutkan di sini. Semuanya (sebab selalu baca dan keluar di akhbar dan berita tv, pelakunya kebanyakannya Islam). Tak menghina Islam?

Orang Islam memang cukup sensitif bila isu agama diperlekehkan. Anjing tu najis. Jadi bila ada isu, "Ini menghina Islam!" sebab jarang2 kita dengar pasal isu ni. Setahun sekali mungkin. Tapi, untuk isu2 yang lebih 'najis' dan haram seperti beberapa contoh di atas, mungkin orang lain dah tak mahu ambil peduli sebab ianya bukan sesuatu yang luar biasa. Terlampau biasa dalam masyarakat Islam Malaysia. Jadi bila dah terbiasa, sudah tak sensitif.

Sedih dan kasihan. Kalau saya salah sila beri teguran.

Lapang

Tahun ni macam biasa, minta cuti awal seminggu sebelum raya. Kalau nak ikut pengalaman tahun2 lepas, waktu2 macam ni tersangat la sibuk. Nak kena buat kuih raya, kemas rumah, masak2 untuk punjungan sebab emak busy siapkan upah jahit.

Tapi tahun ni rasa lebih relax. Cuti awal pun rasa macam agak bosan sebab tak ada apa nak buat. Kuih raya semua dah siap 'tunjuk'. Rumah dah lama berkemas sebab tahun ni emak tak ambil banyak upah jahit. Nak masak2 pun, tak ada sebab ayah kata "kita masak2 malam raya je, sekali dengan punjungan masa hari pertama raya. Jimattt.."

Sudahnye, dok rumah tak tahu nak buat apa.

Krik krikk...

Sunday, July 28, 2013

Surah Al-Rum (ayat 30 - 31)

Bismillahirrahmannirrahim.

" Maka hadapkanlah wajahmu dgn lurus kpd agama (Islam); (sesuai) fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut (fitrah) itu. Tidak ada perubahan pd ciptaan Allah. (Itulah) agama yg lurus, tetapi kebanyakan manusia tdk mengetahui. " 30

"Dengan kembali bertaubat kpdNya & bertakwalah kpdNya serta laksanakanlah solat & janganlah kamu termasuk orang yg mempersekutukan Allah." 31

"Iaitu orang yg memecah belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Setiap golongan merasa bangga dgn apa yg ada pada golongan mereka." 32

Surah Al-Rum (30 ~ 32)



>> Sedih bila zaman sekarang ni lebih ramai yg suka mengambil ringan soal agama. Islam itu mudah, tapi ramai yg ambil mudah.
-Allah Maha Mengetahui-

Thursday, July 25, 2013

tinggi mendongak

Ragam...
Ada yang jenis tak kisah dengan orang sekeliling,
Ada yang jenis terlebih mengambil kisah orang lain,
Yang paling pelik, ada yang suka mengambil kisah tapi tak mahu mendengar pendapat orang lain.
Pada dia, tiada siapa di dunia ni yang lebih betul tidakan, fikiran, dan suaranya melainkan dia.
Kata-katanya sinis sekali,
Dengan bangga dan angkuh, lebih senang hati melihat orang lain tersinggung dengan bicaranya.
Mampu memberikan kepuasan peribadi, mungkin.
Kadang-kadang, kasihan melihat manusia sebegini.
Perasaan takut pada kekalahan, iri hati pada kelebihan orang lain,
buatkan dia tak segan silu menyakiti hati orang lain.
Semoga semua orang yang pernah tersinggung dulu, mampu memaafkanmu.
Aku juga, maafkan kamu.


p/s : kau tahu kau siapa.

Saturday, July 20, 2013

Nanti

Minggu yang stress. Bukan minggunya stress, tapi perkara dan manusia2 sekeliling jadi punca stress. Banyak sangat benda jadi, sampai rasanya tak mau cerita detail sangat sekarang. Tak nak ingat! Bak kata Zura, "bukan salah kita, salah dorang2 tu. Kita mana ada salah!". Huhuu.. Zura kalau bab bagi nasihat, memang tak boleh pakai. Buat orang gelak je. Lagi satu, kesian kat Piha. Aku tau dia stress jugak dengan masalah dia dan manusia sekeliling dia, terutama aku yang selalu buat muka stress depan dia. Alahaii, nasib kau la Piha. Tabah betul kawan dengan aku.

Macam-macam sangat perangai manusia ni. Lagi-lagi kalau yang jenis tak berani nak buat keputusan, terlalu bergantung kat orang lain, tak nak tanggung risiko, tak boleh nak ditegur, budget bagus. Pendek kata, berada dalam kategori 'menyusahkan orang'. Takut nak bertindak sendiri. Bukanlah tak boleh langsung nak bertanya, sekadar nak jadikan panduan. Tapi kalau dah setiap keputusan nak kena harapkan orang lain yang fikir,, ermmmm, tak tau la nak cakap macam mana lagi. Memang stress sangat tak boleh nak gambarkan lagi. Memang, memang sikap semua orang tak sama. Ada yang boleh diharap, tapi ramainya suka bergantung harap pada orang lain. Arghhhh!!! Mengapakah??! Stressss!!

****

Jumpa kak Rehan, jumpa si comel Kautsar Kamaliah, aku terfikir, "Wahhh, hidup ni bukan main-main." Suatu hari nanti, kita akan ada tanggungjawab yang lebih berat, lebih besar. Dan kita akan jadi seseorang yang tergantung harap orang lain. Bukan bebanan, tapi tanggungjawab. Memang bukan kerja main-main. Agak-agak kalau suatu hari nanti aku lalui perkara yang sama macam kak Rehan, boleh ke aku laksanakan tanggungjawab aku kalau 'stress' kecik macam tu pun aku tak boleh nak handle. Asyik nak merungut-rungut. Asyik tak puas hati. Asyik nak stress? Ermmm....

Cium pipi Kautsar, aku terfikir "Kautsar nanti dah besar nanti jadi manusia yang macam mana?" Harap-harapnya suatu hari nanti kalau ada orang tulis pasal Kautsar dalam blog, semua orang puji-puji dan senang hati dengan Kautsar. Jadi budak baik, jangan jadi macam aunty Zaza yang selalu sangat sakit hati dan tak puas hati dengan orang lain. Caya cakap aunty, hidup ni bukan main-main.

Lagi, untuk makcik sorang ni yang agaknya tengah baca la sekarang (kot), Tahniah setingginya tahniah ye makcik. Dapat dah Kautsar Kamaliah yang comel ni. By the way, saya nak panggil Kautsar ni Lia. Tak kira! Hahahaa! Ingat lagi masa mula-mula jumpa akak kat ofis (masa tu kita belum kamcing sangat), akak bagitau "Kita dah tunang!" dengan muka yang tak boleh blah gembiranya. Macam baru je saya dengar ayat tu, tau2 dah keluar dah Kautsar. Huhuu..

>> sori lerr, bercampur aduk entry untuk Kautsar dengan stress aunty. Memang sengaja buat, nanti bila Kautsar dah besar boleh la baca dan tau betapa stressnya hidup aunty Zaza masa muda. Ehemm..

Thursday, July 18, 2013

Kenangan Ramadan

Tiap kali menjelang Ramadan je, semua orang beli stok kurma. Tiap kali nampak kurma je, mesti nenek teringat satu cerita. Dan tiap kali teringat cerita ni, nenek jd fobia nak makan kurma tanpa buang biji dulu siap-siap.

Alkisah, zaman nenek kecik dulu, ayah selalu beli kurma timbang. Murah sikit. Takde la macam sekarang ni, beli kurma kotak yusup tayob tu. Nenek memang la suka kurma. Kalau ikut sunah, makan 3 biji je tp nenek makan darab tiga kali. Huhuu.. punya la lahap makan. Ada suatu hari, waktu tengah sahur. Masa tu nenek darjah 5. Dah makan berbiji-biji kurma, tiba kurma terakhir nenek tergerak hati nak belah dua kurma tu (konon nak buang biji, padahal sayang nak makan sebab kurma dah habis). Sekali..., jeng jeng jeng...! Ada sekor ulat, warna putih, dah sama kering dengan kurma tu terbujur kaku sebelah biji kurma. Wekkk!! Dah beratus-ratus biji nenek telan, baru perasan ada makhluk lain dalam kurma! Mak cakap, makan ulat buah tu takpe. Tapi...., ulat kot? Huahuahuaaa!!

Dan sejak dari peristiwa itulah kalau nenek makan kurma pasti di buang biji dulu. Siap scan semua isi-isi kurma kot2 la ada makhluk tak bernyawa lagi dok dalam kurma tu. Tak kira dah kurma timbang ke, yusup tayob ke, confirmed kurma mahal ke, semua nenek bedah siasat dulu. Fobia! Tp takdelah fobia sampai tahap tak boleh makan kurma. Sunah tu! Eheee...

Selamat bersahur!

Thursday, July 11, 2013

Pelekat Emo

Saje je, sebab hari ni nenek cuti balik kampung tapi Piha tak balik dan duduk sorang2 dalam lab. Mentang2 la banyak sticker comel2 kat fb chat, chat yg sepatutnya dlm satu page je boleh borak banyak benda, jadi tak muat. Sticker semua takde kena mengena. ^^

Sudah cukup!

Tak pernah seumur hidup aku, pergi buat facial,, self confident menurun! Masuk bilik buat treatment je, mcm2 dorang nak kutuk. Kononnya macam kesian dengan kulit wajah aku yg bermasalah ni. Haishhh!, geram pulak aku!

Hello! Kulit aku jd makin teruk sbb produk tak guna ko tu tau tak? Dah la mahal, asyik paksa suruh beli je tiap2 sessi. Sakit hati sesi lepas tak habis lagi, ko dah buat aku sakit hati lagi. Memang tak la aku nak jejak kaki kat salon ko lagi. Never! Semalam penutup!

Kalau nak kira, mmg banyak sangat aku rugi buat facial kat tempat ko. Biar ka sesi aku ada baki banyak lagi. Makin lama aku jd customer ko, makin nipis poket aku, makin stress kepala aku, makin rosak kulit aku. Semalam pun aku tengok ramai jugak yg senasib dengan aku. Macam terpaksa je datang. Sudah la. Good bye Ad***ne! Janji ko tak serupa bikin!

Thursday, June 27, 2013

Kita, kami dan dot dot dot

Situasi 1 :
 Seorang yang kita kasih, tapi dia tak sedar yang semua orang sangat mengambil berat terhadap dia. Dia merasakan seolah-olah semua orang menentang pilihan hidup dia. Semua yang dia lakukan, tanpa mengambil kira perasaan orang-orang yang mengasihinya. Dia lebih memandang kasih sayang yang palsu tanpa ada sebarang jaminan melainkan bencana sahaja. Dia mungkin boleh berfikir, tapi selagi persekitarannya begitu, fikirannya akan menjadi beku. Kami sudah mencuba untuk menasihati, tapi pandangan kosong tanpa perasaan selalu di pamerkan sebagai jawapan dan tanda kerasnya hati untuk menerima kenyataan.

Situasi 2:
Seorang rakan, sahabat, dan pernah berjanji untuk menjadi sahabat selamanya. Kalau pepatah Melayu kata, 'bagai isi dengan kuku', 'bagai aur dengan tebing', dan macam-macam bagai lagi. Tapi, janji-janji itu semua janji lama. Janji sewaktu sama-sama susah. Susah belajar, susah nak exam, susah nak cari kerja. Itu dulu. Waktu susah. Sekarang.. janji yang kita sendiri tak harap untuk ditepati. Janji yang sekadar mimpi dalam mimpi. Kalau tersedar dari mimpi pun, mungkin hanya mimpi lagi. Dan sekarang, dia tidak lagi menabur janji. Hidupnya lebih senang. Mencari sahabatnya yang dulu, untuk kepentingan tertentu saja. Kalau pepatah Inggeris pula kata, 'friends for benefit'. Bila tak ada faedah dan mendatangkan hasil untuknya, tak perlulah dicari.

Situasi 3:
Seorang peniaga. Janji Tuhan, 9 per 10 rezekiNya ada dalam bidang perniagaan. Dan seharusnya, rasa beruntunglah para peniaga kerana Tuhan kita telah menjanjikan rezeki yang banyak untuk mereka. Tapi dengan kaedah dan cara bagaimana untuk mendapatkan rezeki yang 9 per 10 itu? Perlulah berniaga kerana Allah. Pastikan sumber (modal) dan cara perniagaan kita itu halal. Tak mahu main tipu-tipu. Barulah berkat. Tutur kata kepada pelanggan juga haruslah dijaga. Budi bahasa kan budaya kita. Bukan setakat sesama kaum je perlu berbudi bahasa, dengan kaum lain, waima orang negara luar juga kita perlu jaga bahasa kita. Teringat dialog seorang peniga semalam;
"Kak, selendang ni berapa harga?" tanya kawan.
"29 ringgit!" jawab si peniaga dengan muka bosan dan tiada senyuman langsung.
"Ohh, 29..." kata kawan lagi.
"Habis tu? Awak ingat berapa? 10 ringgit? Ni ha harga. Ada awak nampak cop RM10 kat sini??" jawab si peniaga, bongkak sambil tunjuk tanda harga yang tulisannya kecil teramat.
Mungkin la si peniaga ni sudah untung banyak. Perniagaan kedai tudung yang kecil, corak tudung yang tak semenggah, papan tanda kedai pun dah uzur benar, sudah cukup dan teramat banyak memberi keuntungan padanya. Setakat tak dapat jual selendang berharga RM29 bukan masalah baginya.

Situasi 4:
Seorang kenalan. Hanya kenal, bertegur sapa sekali dua. Nama pun kenalan. Bila dia tahu situasi kita, lebih bermanfaat dari kenalannya yang terdahulu, dia mula rapat. Bukan nak buruk sangka, tapi sangat terasa dipergunakan. Hey! kita cuma kenalan okey?! Hentikan dari menganggap kita ni teksi atau kereta sapu anda. Kita pun bermula dari situasi yang susah. Tak punya apa-apa. Sudah merasa menapak beratus-ratus meter ke perhentian bas. Sudah merasa berhabis berpuluh ringgit naik teksi. Sudah selalu sangat dipijak kaki dalam bas yang sesak. Bukan tak ada rakan yang berkenderaan, cuma kita ni siapalah, nak menyusahkan orang lain. Apatah lagi nak mengarahkan rakan menghantar ke sana sini. Bukanlah kita tak kasihankan anda. Tapi kalau sehingga mengganggu masa belajar, privasi dan keselesaan orang lain..., rasanya kita pun naik rimas dan meluat. Lagaknya umpama kita ni pemandu peribadi anda tanpa gaji. Anda selalu berterima kasih, tapi kita sudah letih.

Situasi 5:
Seorang pelajar. Dua orang pelajar. Juga tiga orang pelajar. Keadaan setiap satunya berbeza. Ada yang rajin tapi tiada hasil kajian kerana seringkali menemui kegagalan. Ada yang sederhana rajin,tapi masih mampu memiliki hasil kajian, walaupun tidak seberapa. Ada yang langsung tidak berbuat apa-apa, hanya menempel saja, tapi hasilnya sangat gah..., atas kerajinan orang lain. Orang besar tidak akan bertanya apa dan mengapa. Dia hanya memandang apa yang dia nampak sahaja. Bukanlah ketandusan pujian, tapi setidaknya hargailah. Kami semua ada matlamat yang sama. Mahu menggenggam segulung ijazah di peringkat tertinggi yang sememangnya cabarannya lebih getir. Sekali kaki melangkah, Tak akan kami berundur. Antara pelajar satu, dua dan tiga. Kami memilih untuk menjadi pelajar satu. Biarlah menemui kegagalan pada awalnya, tapi pada akhir nanti meraih kejayaan semanis kurma, dan kegagalan yang telah ditempuh menjadi rujukan untuk masa hadapan.

Situasi 6:
Seorang aku. Kebelakangan ini aku banyak berfikir, tentang masa depan, tentang hal-hal yang lebih mendewasakan. Tentang sesuatu yang ghaib, yang hanya menjadi rahsia Tuhan. Dan setiap kali itu aku terfikir; "kenapa aku?" "apakah jalan penyelesaiannya?" "berdosakah aku kalau aku begini atau begitu?" "akan adakah orang yang akan merasai kehilangan aku selain ibu bapaku?" "mampukah aku mengahadapi situasi yang begini atau begitu?" "kenapa aku perlu fikirkan masalah mereka jika mereka sendiri tidak mengganggap itu semua masalah baginya?", dan sekali lagi.. "kenapa aku?".
Kita dan kami adalah aku. Tapi aku, mungkin tidak seperti kita dan kami.



Saturday, June 1, 2013

Perasaannya lain

Hari ni,, ermm,, rasanya dari rabu lepas, sibuk ke sana ke mari. Walaupun tak lah terlalu sibuk nak uruskan macam2, cuma buat beberapa perkara remeh saja. Dari jauh, dari dekat, memang aku nampak riak bahagia mereka. Seronok sangat lihat orang yg kita sayang bahagia dengan kehidupan mereka. Tapi rasanya macam dah tak sama perasaannya sekarang. Walaupun dekat, cuma jarak sejengkal, tapi dah rasa beribu batu jauhnya. Komunikasi pun tak semacam dulu. Bukanlah aku rasa kehilangan lepas majlis akad, tapi aku rasa macam ada kekurangan. Kelainan. Dia masih macam dulu, tetap ceria, penuh ketawa, gurau senda dengan kawan-kawan. Tapi bukan dengan aku. Samada aku ada atau tidak, mungkin tak mendatangkan kesan.

Tak tahulah, mungkin perasaan aku saja. Terlalu mengambil hati, sensitif. Mungkin sebelum ini aku terlalu banyak memberi, jarang menerima. Terlalu memanjakan, dibiarkan bahu untuk digantung harapan. Rasanya mungkin setakat ini. Bukan memutuskan, tapi berhenti seketika dari terus memberi. Takut juga kalau dia sudah terbiasa menerima, akan jadi kurang menghargai. Perlahan-lahan,,, sampai tiba suatu saat nanti, dia sendiri yang akan tercari keberadaan aku.

Semoga kebahagiaan akan selamanya milikmu, semoga insan2 yang engkau sayangi senantiasa mendampingimu. Maaf, terima kasih, tahniah.

Saturday, May 25, 2013

Cuti la..

Sempena cuti umum Wesak day hari ni, kami plan nak jalan2 dekat zoo johor je.. Saje nak melawat haiwan2 kat sane. Siap guna waze gps lagi nak gi zoo. Maklum la, nenek ni nama je Johorean tapi geografi & peta Johor memang failed! Huhuu..

Penat jalan, tak jumpa mane letak zoo tu. Aisehhh.. hampeh je guna gps. Last2 kami drive je tanpa hala tujuan sampai la ke Nusajaya. Secara teknikalnya, kami TERsinggah puteri  harbour lalu TERbeli tiket masuk Hello Kitty Town.. hehee.. Semuanya tak sengaja belaka. Ceh.! Tapi disebabkan plan tak sengaja, kami beli tiket paling murah je. RM 55 je kalau tunjuk IC. Kira ok la tu.... ♥♥♥

Thursday, May 23, 2013

Tak terkata apa

Masuk toilet shopping complex, terperanjat nampak dua 'jantan' tengah sibuk dok borak bisik-bisik depan cermin. Betul-betulkan rambut bagai. Nenek pandang dua tiga kali jugak la dekat pintu toilet, sah la ni toilet perempuam. Awat ada jantan pulak dalam ni. Kawan nenek pun dok pelik jugak. Kami perati je atas bawah. Sekali imbas memang maskulin. Sekali perasan suara ayu-ayu ala-ala sarimah ibrahim.

Hek elee... Jantan celup!

Kalau dah rasa diri tu jantan sangat, kenapa dok sibuk masuk toilet perempuan? Nak jadi jantan kan? Pi la masuk toilet lelaki sana. Dah jadi tak selesa orang lain nak masuk toilet tu.

Tak payah la nak kata, "kami ni luaran je lelaki, tapi dalam-dalam perempuan lagi". Sudah lah. Penampilan kau tu dah mendatangkan fitnah. Fitnah yang kau sendiri undang, yang kau memang nak. Jadi jangan salahkan kami ni yang menilai luaran kau orang.

>> (c&p) Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya;

"Empat kalangan yang pada waktu pagi mereka dimurkai Allah dan pada waktu petangnya juga dimurkai Allah."

Abu Hurairah bertanya: Siapa mereka wahai Rasulullah?

Jawab baginda; "Orang lelaki yang berlagak seperti wanita, kaum wanita yang berlagak seperti lelaki. Orang yang bersetubuh dengan binatang dan orang yang melakukan hubungan sejenis." (At-Tabrani dan al-Baihaqi) >> sumber


>> (c&p) Merujuk kepada kitab muktabar Fiqh al-Islami wa Adillatuh,  Dr. Wahbah al-Zuhaili menegaskan bahawa haram ke atas lelaki menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya. Kata Rasulullah SAW,

  عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Daripada Ibn Abbas RA, katanya, “Telah melaknat Rasulullah SAW kepada mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita.”
(Direkodkan oleh Bukhari, no. 5886)

Maksud menyerupai dalam konteks hadis di atas termasuklah daripada aspek gaya rambut, perhiasan, penampilan, cara bercakap, cara berpakaian dan sebagainya. >> sumber




Kesimpulannya, mustahil seorang muslim tak tahu perkara-perkara macam ni melainkan mereka terlalu mengikut nafsu dan telunjuk 'setan'. Renung-renungkanlah..

Wednesday, April 24, 2013

Besar 'Kecil' Besar

Pagi2 sampai lab, terserempak dgn pak cik lab sputtering. Lama dah tak menyusahkan dia sejak budak2 PSM ramai nak guna alat tu. Tak ada mood nak berebut tunggu turn. Huhuu.. Ok, ceritanya,,, pak cik tu tegur

" kenapa nampak kecik?" sambil tangan dia buat sign ala2 badan kembang gitu.

Aku tanya balik, " Kecik??" ( konpius sebenarnya, sbb aku rasa diri aku ni tengah kembang)

Pakcik tu jawab, " Ha'a la. Dulu macam kecik, sekarang makin kecik. Kurang makan ke kurangkan makan?"

Cehh... perli rupanya! Saya tahu la saya ni gemoookkkkkk!!

*diet diet*

Monday, April 22, 2013

diari nenek

kawan nenek